Thursday, September 6, 2018

[Hari Terakhir] Minggu Mesra Mahasiswa UKM 2018

Hari terakhir 3M ini, aktiviti kami diuruskan oleh PC-PC kolej. Kami bermain explorace di sekitar kolej secara berkumpulan. Kami perlu pergi ke setiap check point untuk menyelesaikan masalah dalam bentuk permainan. Aktivitinya sangat seronok dan memerlukan kreativiti dan kerjasama dalam kumpulan.
Kumpulan yang kalah akan dikenakan denda

Aktiviti kami tamat pada waktu tengahari. Kemudian kami dibenarkan balik ke bilik untuk berehat sebagai persediaan untuk Malam Kemuncak 3M di Dewan Gemilang (DG). Kami diminta untuk berkumpual lebih awal untuk mengelakkan kesesakan. Malam Kemuncak ini jugak merupakan julung kalinya diadakan di DG. Keunikan yang ditampilkan oleh UKM pada tahun ini adalah majlis diadakan ala-ala konsert. Suasana sangat meriah, penuh lampu yang berwarna-warni dan cantik pada waktu malam.

Penghuni KUO berkumpul di perkarangan DG

Antara kemeriahan semasa majlis

Akhirnya, malam yang kami tunggu-tunggu sudah pun tiba. Malam yang penuh bermakna buat kami sebagai pelajar baharu UKM. Majlis ini adalah sebagai kemuncak di mana kami perlu berikrar di hadapan semua warga UKM. Setelah berikrar maka secara rasminya kami telah menjadi pelajar UKM. 

Ikrar pelajar

NC bersama barisan pentadbiran UKM memegang 'Payung Merah' sebagai simbolik UKM selepas ikrar pelajar

Seterusnya, majlis juga dimeriahkan lagi dengan perang DG. Perang ini pada asalkan dinamakan perang DECTAR tetapi memandangkan ia diadakan di DG maka nama ditukar kepada Perang DG. Perang DG ini merupakan perlawanan sorak antara kolej-kolej di UKM dan merupakan tradisi setiap tahun. Sorakan paling bertenaga, meriah dan unik serta paling lama bertahan dikira pemenang. Kolej Ungku Omar mendapat tempat ketiga sorakan yang paling lama bertahan. 

Alhamdulillah orientasi kami berakhir dengan acara yang paling bermakna sebagai permulaan kehidupan di sini. Sepanjang lima hari orientasi ini, banyak pengalaman yang telah kami perolehi bersama rakan-rakan dan warga UKM yang lain.

Wednesday, September 5, 2018

[Hari Keempat] Minggu Mesra Mahasiswa UKM 2018

Sudah masuk hari keempat orientasi, kami teruskan dengan 2 lagi domain. Bagi sesi pagi, saya ke Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh (DTAMS) untuk domain inovasi. Kami terus dibahagikan kumpulan untuk menjalankan aktiviti di situ. Aktiviti pada pagi itu adalah mencipta satu perniagaan beserta poster dan prototaip. Kumpulan yang menang akan diberi ganjaran modal untuk memulakan perniagaan tersebut. Kumpulan kami merancang untuk membuat perkhidmatan dobi. Kami saling berkongsi idea untuk menjayakan projek ini.

Melukis poster

Poster kumpulan 40
Kemudian setelah selesai domain inovasi, saya ke Dewan Gemilang (DG) untuk domain yang terakhir iaitu domain sukan. Seperti domain yang lain, kami diberikan kumpulan untuk pertandingan Hakka. Kami diberi masa yang singkat untuk memerah idea dan berlatih Hakka. Kerjasama dan kesungguhan amatlah penting untuk pertandingan ini.Alhamdulillah kumpulan kami dapat melakukannya dengan baik sekali.

Kumpulan Hakka KUO

Pada petang itu juga, terdapat perlawanan persahabatan bola sepak UKM dengan kelab bola dari luar. Kami diminta untuk turun ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan UKM. Suasana sungguh meriah dengan gema sorakan dan lagu sebagai tanda sokongan kepada UKM.

Sorakan kepada UKM FC
Sejurus selepas solat maghrib, kami ke Dewan Gemilang semula untuk Malam Tunas Seni. Suasana majlis pada ketika itu yang amat gilang gemilang beserta lampu warna-warni yang banyak dan cantik. Malam Tunas Seni pada tahun ini dikatakan unik kerana buat pertama kalinya diadakan di Dewan Gemilang. Sebelum ini acara diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR). Persembahan-persembahan dilakukan oleh pelajar-pelajar baharu yang berbakat. Antaranya ialah tarian pelbagai jenis mengikut budaya, dikir barat, nyanyian dan lakonan. Kesemua pelajar yang terlibat membuatkan kami terpukau dan tidak bosan dan setia di tempat duduk.


Tarian

Lakonan


Tuesday, September 4, 2018

[Hari Ketiga] Minggu Mesra Mahasiswa UKM 2018

Untuk hari ketiga ini, bermulalah Program 7 Domain iaitu domain kesukarelawanan, keusahawanan, inovasi, kelestarian, kebudayaan, sukan, dan kepimpinan. Semua pelajar perlu pilih 4 domain yang diminati dan wajib melibatkan diri. Setiap domain dijalankan di dalam UKM sendiri dan beberapa tempat berhampiran UKM manakala domain kepimpinan dijalankan di kolej kediaman masing-masing.

Saya telah memilih domain keusahawanan, inovasi, kebudayaan dan sukan. Dalam sehari kami diberi dua sesi iaitu sesi pagi dan petang. Pada pagi ini, saya ke Kompleks Tun Abdullah Mohd Salleh (KTAMS) untuk domain keusahawanan. Domain ini kami perlu mendengar ceramah mengenai keusahawanan. Kami juga diberikan kumpulan untuk aktiviti kumpulan. Kami diberi soalan secara online dan perlu menjawab soalan berdasarkan pameran yang disediakan.


Sebelum ceramah keusahawanan
Pada belah petang pula, saya ke pusat kebudayaan untuk domain kebudayaan. Domain ini sangat menarik kerana terdapat banyak booth yang melibatkan seni budaya rakyat Malaysia. Antaranya ialah booth membuat kuih tradisional, permainan tradisional, peragaan pakaian kaum, nyanyian dan tarian. Domain ini sangat meriah dengan pelbagai alunan muzik dan nyanyian lagu-lagu klasik. 


Aktiviti menari beramai-ramai

Menyanyi lagu "Rasa Sayang"
Kemudian setelah seharian melibatkan diri dengan domain, kolej saya mengadakan makan malam bersama-sama. Makan malam ini turut dihadiri pengetua, felo-felo dan barisan pentadbiran Kolej Ungku Omar. Tujuan makan malam kolej ini diadakan sebagai sesi suai kenal bersama pengetua, felo-felo dan barisan pentadbiran kolej. Kami disajikan dengan makanan yang enak dan dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada PC-PC serta ucapan daripada pengetua.




Monday, September 3, 2018

[Hari Kedua] Minggu Mesra Mahasiswa UKM 2018

Seawal subuh lagi kami perlu turun untuk bersolat subuh secara berjemaah di foyer kolej. Selepas solat, kami bersarapan dahulu dan kemudian diminta berkumpul di khemah kolej sebelum di lepaskan ke fakulti masing-masing. Fakulti saya adalah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP).

Permandangan dari FEP

Pada hari ini, fakulti saya menjalankan aktiviti explorace. Kami berkumpul di atrium FEP sebelum diberikan kumpulan. Kami telah diberikan kumpulan mengikut mentor. Mentor saya ialah Dr Intan. Manakala rakan-rakan kumpulan saya yang lain kesemuanya dari kolej yang sama. Tujuan explorace ini diadakan adalah untuk kami meneroka fakulti kami sendiri disamping dapat berkenalan dengan pensyarah dan rakan-rakan baharu. 

Berkumpul di atrium FEP
Antara aktiviti permainan yang kami jalani ialah jumping rope, memecahkan belon sambil menutup mata, kuiz teka silang kata dan cup hiding. Kesemua aktiviti tersebut memerlukan perkongsian idea menyusun strategi, bekerjasama dan semangat sepasukan. Tanpa nilai-nilai ini sukar untuk kami menamatkan explorace.

Kumpulan saya semasa bermain jumping rope
Setelah tamat explorace, kami diminta kembali berkumpul di atrium bersama mentor untuk sesi perkongsian pengalaman dan motivasi bersama. Banyak tips dan suntikan semangat kami peroleh daripada mentor kami yang berpengalaman luas.

Sunday, September 2, 2018

[Hari Pertama] Minggu Mesra Mahasiswa UKM 2018

Assalamualaikum. Alhamdulillah saya telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saya dan keluarga bertolak ke UKM lepas waktu subuh kerana pendaftaran sesi pagi bermula jam 8 pagi. Pertama kali menjejakkan kaki ke UKM sudah membuatkan saya jatuh cinta dengan suasananya yang menenangkan kerana bangunannya yang unik dan banyak pokok-pokok.

Kolej Ungku Omar (KUO)

Kolej kediaman saya ialah Kolej Ungku Omar. Kolej ini juga dikatakan kolej yang strategik kerana berdekatan dengan 2 buah fakulti, Pusanika dan perpustakaan. Selepas mendaftar di fakulti, saya terus ke kolej untuk mendaftar masuk bilik. Mujur kolej dengan fakulti saya dekat sahaja.

Bilik saya yang selesa

Pada malam itu, kami diminta untuk berkumpul di bawah khemah KUO untuk sesi taklimat orientasi di kolej. Banyak maklumat yang telah diberikan kepada kami terutama untuk Minggu Mesra Mahasiswa (3M) yang akan berlangsung selama 5 hari. 3M merupakan program orientasi UKM kepada pelajar-pelajar baharu sebagai sesi suai kenal.

Mendengar taklimat daripada PC
 Selepas taklimat, kami dibenarkan untuk balik ke bilik dan berehat untuk persiapan beraktiviti di fakulti masing-masing.


Makan Malam Tahunan FEP 2018